Kisah Nabi Musa Menuntut Ilmu
Kisah Nabi Khidir juga turut
dinyatakan dalam Hadith Rasulullah s.a.w. Menurut Ibn Abbas, Ubay bin Kaab
menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
Sesungguhnya pada suatu hari, Nabi Musa berdiri di
khalayak Bani Israil lalu baginda ditanya, Siapakah orang yang paling berilmu? Jawab Nabi
Musa, Aku. Lalu Allah SWT menegur Nabi Musa a.s. dengan firman-Nya, Sesungguhnya
di sisiKu ada seorang hamba yang berada di pertemuan dua buah lautan dan
sesungguhnya dia lebih berilmu daripada kamu.
Lantas Nabi Musa pun bertanya, Wahai
Tuhanku, dimanakah aku dapat menemuinya? Allah pun berfirman, Bawalah
bersama-sama kamu seekor ikan di dalam sangkar dan sekiranya ikan tersebut
hilang, di situlah kamu akan bertemu dengan hambaKu itu. Sesungguhnya
teguran daripada Allah itu mencetuskan keinginan yang kuat dalam diri Nabi Musa
a.s. untuk menemui hamba yang soleh itu. Di samping itu, Nabi Musa juga ingin
sekali mempelajari ilmu dari hamba Allah tersebut. Nabi Musa kemudiannya
menunaikan perintah Allah itu dengan membawa ikan di dalam sangkar dan
berangkat bersama-sama pembantunya yang juga merupakan murid dan pembantunya,
Yusya bin Nun ibn Ifraim ibn Yusuf a.s.
Mereka berdua akhirnya sampai di
sebuah batu lalu kemudiannya berhenti untuk beristirehat setelah berjalan jauh.
Secara tiba-tiba ikan yang berada di dalam sangkar itu meronta-ronta dan
selanjutnya terjatuh ke dalam air. Dengan kuasa Allah SWT terbentuklah aliran
air sehingga memudahkan ikan sampai ke laut. Yusya terpegun memerhatikan
kebesaran Allah menghidupkan semula ikan yang telah mati itu.
Selepas menyaksikan peristiwa yang
sungguh menakjubkan dan luar biasa itu, beliau tertidur dan ketika terjaga,
beliau lupa untuk menceritakannya kepada Nabi Musa a.s. Mereka kemudiannya
meneruskan lagi perjalanan siang dan malamnya hingga pada keesokan paginya,
Nabi Musa berkata kepada Yusya Bawalah ke mari makanan kita, sesungguhnya
kita telah merasa letih karena perjalanan kita ini. (Surah Al-Kahfi : 62)
Ibn Abbas berkata, Nabi Musa
sebenarnya tidak merasa letih sehingga baginda melewati tempat yang
diperintahkan oleh Allah supaya menemui hambaNya yang lebih berilmu itu.
Yusya berkata kepada Nabi Musa, Tahukah guru bahwa ketika kita mencari
tempat berlindung di batu tadi, sesungguhnya aku lupa (menceritakan tentang)
ikan itu dan tidak lain yang membuat aku lupa untuk menceritakannya kecuali
syaitan dan ikan itu kembali masuk ke dalam laut itu dengan cara yang amat
aneh. (Surah Al-Kahfi : 63) Nabi Musa segera teringat sesuatu, bahwa mereka
sebenarnya sudah menemukan tempat pertemuan dengan hamba Allah yang sedang
dicarinya tersebut. Kini, kedua-dua mereka berpatah balik untuk kembali ke
tempat tersebut yaitu di batu yang menjadi tempat persinggahan mereka
sebelumnya, tempat bertemunya dua buah lautan. Musa berkata, Itulahtempat
yang kita cari.
Lalu keduanya kembali, mengikuti
jejak mereka semula. (Surah Al-Kahfi : 64) Terdapat banyak pendapat tentang
tempat pertemuan Nabi Musa dengan Nabi Khidir a.s. Ada yang mengatakan bahawa
tempat tersebut adalah pertemuan Laut Romawi dengan Parsi yaitu tempat
bertemunya Laut Merah dengan Samudra Hindia. Pendapat yang lain mengatakan
bahwa lautan tersebut terletak di tempat pertemuan antara Laut Romawi dengan
Lautan Atlantik. Di samping itu, ada juga yang mengatakan bahwa lautan tersebut
terletak di sebuah tempat yang bernama Ras Muhammad yaitu antara Teluk Suez
dengan Teluk Aqabah di Laut Merah.
Setibanya mereka di tempat yang dituju,
mereka melihat seorang hamba Allah yang berjubah putih bersih. Nabi Musa pun
mengucapkan salam kepadanya. Nabi Khidir menjawab salamnya dan bertanya, Dari
mana datangnya kesejahteraan di bumi yang tidak mempunyai kesejahteraan?
Siapakah kamu?. Jawab Nabi Musa, Aku adalah Musa. Nabi Khidir
bertanya lagi, Musa dari Bani Israil? Nabi Musa menjawab, Ya. Aku
datang menemui tuan supaya tuan dapat mengajarkan sebagian ilmu dan
kebijaksanaan yang telah diajarkan kepada tuan.
Nabi Khidir menegaskan, Sesungguhnya
kamu sekali-kali tidak akan sanggup bersabar bersama-samaku (Surah Al-Kahfi
: 67). Wahai Musa, sesungguhnya ilmu yang kumiliki ini ialah sebahagian
daripada ilmu kurniaan Allah yang diajarkan kepadaku tetapi tidak diajarkan
kepadamu wahai Musa. Kamu juga memiliki ilmu yang diajarkan kepadamu yang tidak
kuketahuinya. Nabi Musa seterusnya berkata, Insya Allah tuan akan
mendapati diriku sebagai seorang yang sabar dan aku tidak akan menentang tuan
dalam sesuatu urusan pun. (Surah Al-Kahfi : 69) Nabi Khidir selanjutnya
mengingatkan, Jika kamu mengikutiku, maka janganlah kamu menanyakan kepadaku
tentang sesuatu pun sehingga aku sendiri menerangkannya kepadamu. (Surah
Al-Kahfi : 70)
Demikianlah seterusnya Nabi Musa
a.s. mengikuti Nabi Khidir dan dalam perjalan tersebut terjadilah beberapa
peristiwa yang menguji diri Nabi Musa a.s. yang telah berjanji bahawa baginda
tidak akan bertanya sebab sesuatu tindakan diambil oleh Nabi Khidir. Setiap
tindakan Nabi Khidir a.s. itu dianggap aneh dan membuat Nabi Musa ingin
mempersoalkannya. Kejadian yang pertama adalah apabila Nabi Khidir menebuk
perahu yang ditumpanginya mereka. Nabi Musa tidak dapat menahan hatinya untuk
bertanya kepada Nabi Khidir lantas beliau terus bertanya. Nabi Khidir kemudian
memperingatkan janji Nabi Musa, dan akhirnya Nabi Musa meminta maaf karena
ketelanjurannya mengingkari janjinya untuk tidak bertanya terhadap setiap
tindakan Nabi Khidir.
Selanjutnya setelah mereka sampai di
suatu daratan, Nabi Khidir membunuh seorang anak yang sedang bermain dengan
kawan-kawannnya. Peristiwa pembunuhan yang dilakukan oleh Nabi Khidir tersebut
membuat Nabi Musa tidak dapat menahan dirinya untuk menanyakan hal tersebut
kepada Nabi Khidir. Nabi Khidir kembali mengingatkan janji Nabi Musa, dan
beliau diberi kesempatan terakhir untuk tidak bertanya-tanya terhadap segala
sesuatu yang dilakukan oleh Nabi Khidir lagi. Dan jika beliau masih bertanya
lagi maka Nabi Musa harus rela untuk tidak mengikuti perjalanan bersama Nabi
Khidir.
Seterusnya mereka melanjutkan perjalanan
hingga sampai di satu wilayah perumahan. Mereka kepenatan dan hendak meminta
bantuan kepada penduduk sekitar. Namun sikap penduduk di kawasan tersebut tidak
begitu mesra dan tidak mau menerima kehadiran mereka. Hal ini membuat Nabi Musa
merasa kesal terhadap penduduk itu. Setelah dikecewakan oleh penduduk, Nabi
Khidir malah menyuruh Nabi Musa untuk bersama-samanya memperbaiki tembok suatu
rumah yang rusak di daerah tersebut. Nabi Musa menahan dirinya lagi untuk
bertanya terhadap sikap Nabi Khidir ini yang membantu memperbaiki tembok rumah
setelah penduduk menzalimi mereka. Akhirnya Nabi Khidir menegaskan pada Nabi
Musa bahwa beliau tidak dapat menerima Nabi Musa untuk menjadi muridnya dan
Nabi Musa tidak diperkenankan untuk terus melanjutkan perjalanannya bersama
dengan Nabi Khidir.
Nabi Khidir turut menjelaskan
mengapa beliau melakukan hal-hal yang membuat Nabi Musa bertanya. Kejadian
pertama adalah Nabi Khidir membocorkan perahu yang mereka tumpangi karena
perahu itu dimiliki oleh seorang yang miskin dan di daerah itu tinggallah
seorang raja yang suka merampas perahu miliki rakyatnya.
Kejadian yang kedua, Nabi Khidir
menjelaskan bahwa beliau membunuh seorang anak karena kedua orang tuanya adalah
pasangan yang beriman dan jika anak ini menjadi dewasa dapat mendorong ibu
bapanya menjadi orang yang sesat dan kufur. Kematian anak ini digantikan dengan
anak yang soleh dan lebih mengasihi kedua ibu bapanya hingga ke anak cucunya.
Kejadian yang ketiga (terakhir), Nabi Khidir
menjelaskan bahwa rumah yang dinding diperbaiki itu adalah milik dua orang
adik-beradik yatim yang tinggal di kota tersebut.
Di dalam rumah tersebut tersimpan
harta benda yang diwarisi untuk mereka berdua. Ayah kedua adik-beradik telah
meninggal dunia dan merupakan seorang yang soleh. Jika tembok rumah tersebut
runtuh, maka ada kemungkinan harta yang tersimpan tersebut akan ditemukan oleh
orang-orang di kota itu yang sebagian besar masih menyembah berhala, sedangkan
kedua kakak beradik tersebut masih cukup kecil untuk dapat mengendalikan harta
peninggalan ayahnya.
Pengajaran:
1. Ada kalanya guru yang ingin mendidik menetapkan
syarat-syarat tertentu kepada anak muridnya. Syarat yang dikenakan kadang kala
dalam pelbagai bentuk. Dalam kes Nabi Khidir ini, baginda mensyaratkan Nabi
Musa agar tidak mempersoalkan tindakannya di sepanjang tempoh pembelajarannya.
Dalam zaman sekarang ini antara syarat yang kebiasaannya dikenakan oleh
seseorang guru antaranya adalah mesti menghadirkan diri dalam setiap kuliah
atau mesti melaksanakan tugasan yang diberikan dan sebagainya. Sebagai murid,
seharusnya syarat-syarat yang dikenakan oleh guru dipenuhi sedapat mungkin agar
dengan itu proses pendidikan dapat berjalan dengan berkesan.
Walau bagaimanapun, ini tidak
bermaksud bahawa seseorang murid itu tidak mempunyai ruang langsung untuk
berbincang dengan gurunya terhadap persoalan yang timbul atau permasalahan yang
dihadapi dalam memenuhi syarat yang ditetapkan. Seseorang guru yang benar-benar
mengambil berat tentang anak muridnya tentu sekali ingin mengetahui dan
membantu menyelesaikan permasalahan anak muridnya sekiranya syarat yang
ditetapkan itu tidak dapat dipenuhi. Lebih-lebih lagi anak murid adalah
merupakan tanggungjawab dan amanah Allah kepada guru dan tanggungjawab tersebut
akan ditanya di Akhirat kelak. Maka setiap permasalahan dan pencapaian anak
murid akan dipertanggungjawabkan di atas bahu guru dan pendidiknya. Oleh yang
demikian, dalam kes Nabi Musa dan Nabi Khidir ini dapat dilihat bahawa di
akhirnya Nabi Khidir melayani segala persoalan yang timbul dalam fikiran Nabi
Musa dengan menceritakan hikmah di sebalik tindakan beliau.
2. Kisah ini juga menunjukkan terdapat dua kaedah
pengajaran dan pembelajaran. Kaedah pertama adalah belajar secara rasionaliti
dengan menjadikan akal sebagai alat. Kaedah inilah yang dilakukan oleh Nabi
Musa dalam proses pembelajarannya dengan Nabi Khidir. Kaedah kedua pula adalah
belajar menerusi ilmu yang tersirat atau dikenali sebagai ilmu ladunni dengan
menjadikan hati yang bersih sebagai alat. Kaedah inilah yang dipakai oleh Nabi
Khidir dalam usaha menyampaikan ilmu kepada Nabi Musa. Mana-mana satu kaedah
ini tidak salah untuk dipakai dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Walau bagaimanapun, sebaik-baiknya
biarlah kedua-dua guru dan juga anak murid mengajar dan belajar dengan
menggunakan kaedah yang sama. Sebenarnya, dalam kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir
ini, terdapat hikmah di sebalik wujudnya perbezaan kaedah pengajaran dan
pembelajaran di antara keduanya. Nabi Khidir merupakan seorang Nabi yang
diberikan Allah ilmu dan tidak disyaratkan untuk diajar kepada orang lain serta
tidak diwajibkan mempunyai pengikut. Maka ilmunya adalah untuk dirinya sahaja.
Manakala Nabi Musa pula merupakan seorang Rasul yang dikurniakan Allah ilmu
untuk dirinya dan untuk diajar kepada orang lain serta mempunyai pengikut. Maka
ilmunya bukan sahaja untuk dirinya sendiri malah juga untuk
pengikut-pengikutnya. Kaedah yang dipakai oleh Nabi Khidir dalam mengajar
adalah lebih sesuai dengan kedudukannya sebagai seorang Nabi manakala kaedah
yang dipakai oleh Nabi Musa pula adalah lebih sesuai dengan kedudukannya
sebagai seorang Rasul.
3. Setiap murid harus patuh dan memelihara adab dengan
gurunya. Setiap murid juga harus bersedia dididik oleh gurunya secara
sepenuhnya iaitu dari awal hingga akhir. Walau bagaimanapun, untuk situasi
sekarang, kepatuhan kepada guru adalah tertakluk kepada syariat Islam itu
sendiri.
4. Dalam setiap bentuk perjuangan termasuklah dalam
proses mendidik mesti ada strategi tertentu. Sebagai strategi, maka ia tidak
pula wajib untuk dihebahkan atau diceritakan kepada orang lain. Inilah yang
dilakukan oleh Nabi Khidir. Dalam kisah ini diperhatikan ada strategi yang
diperjuangkan oleh Nabi Khidir. Pertamanya, strategi menyelamatkan rakyat yang
tertindas dari pemimpin yang zalim. Kedua, strategi menyelamatkan aqidah umat.
Dan yang ketiganya, strategi menyelamatkan anak yatim daripada kerakusan orang-orang
tamak.
Oleh yang demikian, sebagai seorang
murid mahupun pengikut, perlu patuh kepada guru mahupun pemimpin kerana setiap
yang dilakukan ada strategi tertentu dan tidak kesemua strategi akan
diceritakan kepada murid dan pengikut itu sendiri. Hal yang sama juga pernah
dilakukan oleh Hassan al-Banna bila mana beliau memerintahkan kesemua
pengikutnya mencukur janggut yang merupakan sunnah untuk disimpan. Tindakan
Hassan al-Banna ini sebenarnya adalah untuk mengelabui mata pemimpin yang mahu
menghancurkan perjuangan Islam dengan cara membunuh tiap pengikut gerakan
Islam. Salah satu tanda ahli pejuang Islam yang diketahui oleh pemimpin
diketika itu adalah mereka yang menegakkan sunnah Rasulullah s.a.w.
Semoga Bermamfaat, Shukran
Jazakallah Khairan@
0 Response to "Kisah Nabi Musa Menuntut Ilmu"
Post a Comment